fbpx
Anggota polis membawa tertuduh untuk didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini.

Bapa ‘sentuh’ anak dalam kebun getah dijel 24 tahun, 12 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Perbuatan keji seorang penoreh getah yang melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya di kebun getah dan kawasan kampung sejak tahun lalu berbalas selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 12 sebatan.

Tertuduh yang berusia 39 tahun dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya itu di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 13 tahun dua bulan hingga 14 tahun sebulan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kebun getah di Tanah Merah dekat sini kira-kira pukul 10 malam pada 28 Ogos 2025 dan kawasan lorong sebuah kampung di Tanah Merah kira-kira pukul 3.50 pagi, 26 Mei 2026.

Selain itu, kesalahan tersebut turut dilakukan di sebuah lagi kebun getah di Tanah Merah dekat sini kira-kira pukul 8.30 malam hingga 10 malam pada 26 dan 20 Jun 2026.

Keempat-empat pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16(1) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aiysha memohon hukuman yang setimpal kerana mangsa merupakan anak kandung yang sepatutnya dilindungi, namun tertuduh sanggup melakukan perbuatan jijik terhadap remaja itu.

“Tertuduh turut memanipulasi mangsa dengan mengatakan bahawa perbuatan tersebut merupakan salah satu kaedah untuk mengubati anaknya agar menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

Tertuduh kemudian merayu hukuman diringankan kerana sudah insaf dengan perbuatan tersebut dan merupakan tulang belakang keluarga untuk menyara lima orang anak.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Julai lalu dan 12 sebatan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling bagi pemulihan sepanjang berada di penjara selain dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN