PETALING JAYA – Dua individu warga Bangladesh dikesan bagi hadir sebagai saksi pendakwaan dalam prosiding perbicaraan membabitkan pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang sedang berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, Fardin Mahi dan Md Sumon Hossain diperlukan bagi perbicaraan pada 13 dan 14 Julai, 3, 4, 10, 11, 12, 13, 17, 18 dan 19 Ogos serta 3 September 2026.
Menurutnya, Fardin Mahi yang merupakan saksi pertama pendakwaan gagal dihubungi walaupun pelbagai usaha mengesannya telah dilakukan di alamat terakhirnya di No. 6, Level 16, Blok A, Menara City One, Jalan Munshi Abdullah.
“Seorang lagi saksi pendakwaan, Md Sumon Hossain, juga gagal dikesan di alamat terakhirnya iaitu Residensi Pandanmas, Blok B-20-05, Lorong Delapan, Kampung Pandan,” katanya di sini hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua individu berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, PS Mohd Hafifi Rahmat di talian 018-6632034 atau 03-92065000 (Pejabat SPRM Kuala Lumpur). – KOSMO! ONLINE















