fbpx
Mohamed Khaled dan Adul sewaktu kawalan hormar utama di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

Malaysia beri sokongan proses damai Selatan Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan Thailand susulan pelantikan Ketua Dialog Keamanan Selatan Thailand yang baharu, Thanut Suvarnananda dalam mewujudkan keamanan dan kestabilan di wilayah selatan negara berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia mengalu-alukan pelantikan Thanut dan berharap proses dialog keamanan yang sedang berlangsung dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

“Kita akan beri segala kerjasama kepada pihak ketua dialog supaya dapat mencapai matlamat seperti diharapkan. Kita juga menyokong usaha-usaha supaya kawasan Selatan Thailand dalam keadaan amat dan stabil.

“Sedia maklum sejak akhir-akhir ini pelbagai insiden berlaku dan kita percaya dengan perlantikan baharu ini, proses untuk membawa keamanan dan kestabilan di Selatan Thailand akan dapat diteruskan dengan sokongan penuh daripada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima lawatan pengenalan daripada Menteri Pertahanan Kerajaan Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen di Wisma Pertahanan, sempena kunjungannya ke Malaysia bermula semalam dan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia melibatkan diri dalam usaha membantu dari segi membawa keamanan di Selatan Thailand dan bukannya mencampuri urusan keselamatan dalaman negara tersebut.

“Dia ada dua insiden berbeza. Yang Selatan Thai, bom itu semua melibatkan soal Selatan Thailand dan usaha-usaha rakyat di sana yang mungkin tidak mempunyai persamaan dengan kerajaan.

“Serta soal sempadan yang mana kita tingkatkan kerjasama untuk memastikan tidak berlaku penyeludupan dan anasir-anasir samseng, keluar masuk, itu bab lain.

“Soal-soal keselamatan dalam Selatan Thailand, kita tak wajar terlibat secara langsung. Kita hanya terlibat dari segi membantu soal membawa proses keamanan, kalau ada berlaku serangan dan sebagainya, itu bukan peranan kita,” jelasnya.

Beliau berkata, Fasilitator Kerajaan Malaysia, Datuk Mohd. Rabin Basir turut memainkan peranan dalam memudah cara rundingan antara pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian secara aman terhadap konflik yang berlarutan di Selatan Thailand.

“Jadi kita pun ada kita punya untuk bantu proses damai ini. Thailand juga ada wakil mereka yang dilantik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN