KUALA LUMPUR – Sebanyak 190,422 unit rumah melibatkan 1,615 projek perumahan sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan sejak Disember 2022 hingga Mei lalu menerusi pelaksanaan Pasukan Petugas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kejayaan itu melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM150.86 bilion, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menangani isu projek perumahan yang tertangguh.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 133 projek sakit kembali lancar, 1,446 projek berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), manakala 36 projek terbengkalai dipulihkan sepenuhnya.
“Pasukan Petugas yang ditubuhkan sejak Disember 2022 dipengerusikan Timbalan Menteri KPKT bagi meneliti sendiri isu projek sakit dan terbengkalai serta mencari penyelesaian segera bersama semua pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai langkah kerajaan membendung kenaikan harga rumah, pembinaan tidak terkawal serta tindakan terhadap projek perumahan terbengkalai.
Aiman Athirah berkata, antara langkah diambil termasuk bertindak sebagai pemudah cara antara pemaju, pembeli, institusi kewangan dan kerajaan negeri, selain menyenarai hitam pemaju yang gagal menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.
Katanya, kerajaan turut membekukan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) pemaju yang terlibat, menghalang mereka memohon lesen pemajuan baharu serta menggalakkan penggunaan teknologi pembinaan seperti Industrialised Building System (IBS) bagi mempercepatkan penyiapan projek.
Tambah beliau, Reformasi Perumahan Madani yang bermula 1 Januari lalu turut menyasarkan sifar projek perumahan sakit menjelang 2030 melalui pelaksanaan Perjanjian Jual Beli Elektronik (eSPA) dan penambahbaikan kawal selia industri perumahan. – KOSMO! ONLINE















