ALOR SETAR – Seorang pelajar lelaki mereka-reka cerita kononnya dia diculik dua lelaki dalam kejadian di Kuala Nerang, dekat sini kelmarin gara-gara malu dan tertekan apabila tersilap memasuki tandas perempuan di sekolahnya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dakwaan kes culik membabitkan remaja berusia 14 tahun yang tular di media sosial pada semalam adalah palsu.
Katanya, pelajar itu membuat laporan polis mendakwa dia diculik dua lelaki ketika berada dekat sebuah kedai makan di Kuala Nerang petang kelmarin dan dilarikan sehingga ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Durian Burung.
“Dia mendakwa dua lelaki tidak dikenali itu bertindak menggari, mengikat tangan dan menutup mulutnya sebelum dibawa menaiki sebuah kenderaan.
“Seterusnya, dia mendakwa ditendang keluar dari kenderaan ke tepi jalan sebelum diselamatkan penduduk tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut bagaimanapun mendapati dakwaan pelajar itu diculik adalah tidak benar dengan kejadian sebenar berpunca daripada dia tersilap memasuki tandas perempuan di sekolah.
“Dia yang baru seminggu berpindah ke sekolah berkenaan tersilap memasuki tandas perempuan ketika menunggu latihan bola sepak dan terserempak dengan seorang pelajar perempuan.
“Remaja berkenaan kemudian dikejar beberapa pelajar perempuan yang mengesyaki dia mahu melakukan perkara tidak elok. Disebabkan malu dan takut, dia melarikan diri dengan menumpang dua motosikal sehingga ke Durian Burung,” ujarnya.
Jelasnya, penduduk kampung yang menemui remaja itu berlegar-legar di situ bertindak menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
“Siasatan mendapati pelajar berkenaan pernah menjadi mangsa buli di sekolah lamanya di sini sebelum dia dipindahkan ke sekolah di Kuala Nerang. Bagi kes buli itu kita telah menahan empat pelajar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pelajar berkenaan bertindak melarikan diri dan mereka-reka cerita kerana tekanan disebabkan pernah menjadi mangsa buli. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu
Adzli pada masa sama memaklumkan kes buli di Kedah menunjukkan penurunan drastik iaitu daripada 43 kes pada 2025 kepada hanya tujuh kes tahun ini sehingga bulan lalu. – KOSMO! ONLINE















