MELAKA – DAP Melaka dijangka membuat pengumuman penting berhubung kedudukannya dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan Melaka selepas selesai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), petang ini.
Difahamkan, pengumuman itu akan dibuat dalam sidang akhbar kira-kira pukul 2 petang oleh Pengerusi DAP Melaka merangkap Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.
DAP dijangka mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap cadangan pindaan Perlembagaan Negeri yang membuka laluan kepada pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Susulan itu, semua wakil DAP yang memegang jawatan dalam pentadbiran negeri dijangka melepaskan jawatan masing-masing, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin.
Turut dijangka berundur ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, Low Chee Leong dan Leng Chau Yen serta Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee.
Tindakan itu bakal menyaksikan DAP tidak lagi menjadi sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan Melaka yang diterajui Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH).
Pertikaian berhubung cadangan pelantikan ADUN lantikan sebelum ini dilihat menjadi punca utama keretakan hubungan antara DAP dan kerajaan negeri.















