KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan buah motosikal disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana diletakkan di laluan pejalan kaki dan kawasan awam sehingga menghalang pengguna di hadapan NU Sentral, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, semalam.
DBKL berkata, operasi Tindakan Khas Lalulintas Angkut Siri 11/2026 itu turut menyasarkan kenderaan persendirian yang diletakkan di lokasi tidak dibenarkan termasuk di laluan pejalan kaki dan kawasan awam.
Menurutnya, kesemua kenderaan itu dibawa ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL di Jalan Pahang untuk tindakan lanjut termasuk kompaun dan penyimpanan sementara sebelum dituntut semula oleh pemiliknya.
“DBKL turut mengeluarkan lapan notis kompaun atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi tersebut.
“Kesemua tindakan diambil mengikut Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebarang aduan atau maklum balas berkaitan boleh dikemukakan menerusi sistem aduan DBKL. – KOSMO! ONLINE















