fbpx
SERAMAI 11 lelaki Bangladesh ditahan penguat kuasa imigresen di Perlis, hari ini.

11 lelaki Bangladesh ditahan dalam Ops Mega di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Jabatan Imigresen (JIM) Perlis menahan 11 lelaki Bangladesh dalam Operasi Mega Bersepadu (Ops Mega) yang dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini.

Pengarah Imigresen Perlis, Mohammad A’sim Md. Ali berkata, kesemua mereka ditahan selepas pihaknya memeriksa 38 individu dalam operasi selama kira-kira dua jam bermula pukul 10 pagi.

“Operasi membabitkan 13 anggota dengan pemeriksaan dijalankan di pelbagai premis perniagaan, tempat kerja dan tapak pembinaan sekitar Arau, Beseri serta Kangar.

“Seramai 14 warga tempatan dan 24 warga asing berusia antara 22 hingga 57 tahun diperiksa dalam operasi tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Imigresen Wilayah Utara di sini hari ini.

Menurutnya, warga asing yang diperiksa terdiri daripada 12 warga Bangladesh, sembilan warga India serta masing-masing seorang warga Myanmar, Pakistan dan Indonesia.

“Daripada jumlah itu, 11 lelaki Bangladesh ditahan dengan 10 daripadanya disyaki melanggar syarat pas mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kebanyakan warga asing yang diperiksa bekerja sebagai buruh kasar di tapak pembinaan selain mengambil upah sebagai buruh pertanian di sawah padi susulan musim menyulam di sekitar Arau dan Beseri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN