GOMBAK – Seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan ringan selepas kereta yang dia pandu terbabas ke dalam longkang di susur masuk ke Taman Sri Gombak dari arah Batu Caves, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 8.33 malam.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi pada hari sama.
“Ketika kejadian, mangsa berusia 24 tahun sedang memandu sebuah Proton Saga dari arah Subang Jaya menuju ke kediamannya di Taman Sri Gombak.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum kenderaan terbabas masuk ke dalam longkang di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, pemandu terbabit mengalami kecederaan ringan kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor V. Rathana Kumar di talian 017-7745565. – KOSMO! ONLINE















