fbpx
Model manusia berjalan seiring dengan robot humanoid yang memperagakan pakaian sepadan di MACH33: Physical AI Fashion Show di Korea Selatan baru-baru ini.

Aksi ‘debut’ robot humanoid di pentas peragaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEMERLAPAN cahaya lampu, alunan muzik dan tepukan gemuruh penonton menjadikan pentas peragaan fesyen bukan sekadar ruang bagi mempamerkan koleksi terbaharu dan pentas meraikan kreativiti.

Tetapi ia juga menjadi medan mempertaruhkan keberanian serta inovasi rekaan tanpa batas.

Setiap langkah peragawati bukan sekadar memperagakan busana tetapi mencerminkan evolusi dunia fesyen yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

Itulah yang lazimnya menggambarkan pentas peragaan masa kini, namun sebuah pertunjukan fesyen di Korea Selatan baru-baru ini mengorak langkah lebih besar apabila turut melibatkan robot humanoid.

Acara melambangkan keharmonian manusia dan robot.

Di pentas peragaan fesyen itu tercipta kelainan apabila rekaan pakaian tidak hanya digayakan oleh model tetapi turut diperagakan robot humanoid sekali gus menandakan transformasi baharu yang menggabungkan dunia fesyen dengan teknologi.

Kehadiran robot humanoid yang dikuasakan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) berjaya mencetuskan rasa kagum tetamu yang hadir menyaksikan pertunjukan fesyen MACH33: Physical AI Fashion Show di Galaxy Robot Park, Seoul, Korea Selatan.

Gabungan robotik, AI dan fesyen dalam satu persembahan merapatkan jurang antara inovasi teknologi dengan ekspresi seni sekali gus mencipta pengalaman baharu dalam dunia kreatif.

Apa yang dahulunya hanya dibayangkan dalam filem fiksyen sains kini menjadi realiti apabila manusia dan robot berkongsi pentas yang sama dengan masing-masing memainkan peranan dalam menyampaikan visi serta identiti koleksi.

Para pengunjung tertarik dengan aksi yang dipersembahkan robot humanoid.

Acara tersebut sekali gus menjadi debut memperlihatkan gandingan manusia dan robot di atas pentas peragaan serta lengkap dengan pakaian rekaan yang sepadan dan bergaya.

Di sebalik pertunjukan itu, konsep utama MACH33 adalah untuk mengubah persepsi umum bahawa robot bukan sekadar alat industri tetapi boleh menjadi sebahagian daripada budaya, seni dan gaya hidup.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Galaxy Corporation, Choi Yong-ho, manusia dan robot bukan sahaja saling bergantungan antara satu sama lain tetapi turut mampu menjadi inspirasi kepada antara satu sama lain.

Kata Yong-ho, manusia dan robot bukan lagi dua entiti yang bergerak secara berasingan.

Sebaliknya kedua-dua saling melengkapi dan menjadi pencetus inspirasi antara satu sama lain dalam membentuk masa depan yang didorong oleh kreativiti, inovasi serta kecerdasan buatan.

“Saya percaya manusia bukan sahaja akan memakai busana fesyen yang diinspirasikan oleh robot tetapi pada masa sama robot juga akan mendapat inspirasi daripada manusia.

“Jadi, disebabkan itu saya memutuskan untuk mengadakan pertunjukan fesyen robot AI fizikal ini kerana kami berharap dapat membantu mencipta dunia sebegitu suatu hari nanti.

“Kami bukan sebuah syarikat yang hanya membina teknologi tetapi kami merancang masa depan di mana manusia dan teknologi boleh hidup bersama dengan indah, maka MACH33 lebih daripada sekadar pertunjukan fesyen.

“Langkah ini bukan sekadar mencipta sejarah, malah menandakan kelahiran era baharu kecerdasan buatan fizikal di peringkat global yang dijangka mengubah cara manusia berinteraksi dengan teknologi pada masa hadapan,” katanya memetik Korea JoongAng Daily.

Dalam acara tersebut, setiap model manusia dipadankan dengan robot humanoid yang bergerak seiring sambil mengenakan busana yang sepadan bagi menonjolkan gabungan harmoni antara inovasi teknologi dan dunia fesyen.

Robot berpenampilan lelaki berjalan bersama model wanita.

Mengetengahkan tema fesyen futuristik, pertunjukkan yang berlangsung pada akhir Mei lalu menjadi salah satu simbolik kepada penerimaan Korea Selatan terhadap penggunaan robot dalam apa jua bidang.

Menurut Interesting Engineering, Korea Selatan menjadi salah satu negara yang aktif menggunakan robot humanoid.

Beberapa tahun kebelakangan ini turut memperlihatkan Korea Selatan melancarkan inisiatif untuk mempercepat pembangunan robot humanoid domestik termasuk kerjasama antara firma teknologi, universiti dan program penyelidikan yang disokong kerajaan.

Pada masa sama, syarikat robotik di seluruh dunia turut berusaha untuk menjadikan robot humanoid tidak hanya tertumpu kepada kilang dan industri tetapi menjangkaui ke pelbagai bidang.

Setiap robot humanoid direka khas agar sesuai dengan rangka badan dan memudahkan pergerakan agar kelihatan tidak janggal atau terjatuh.

Robot model Unitree G1 dan H1 keluaran Unitree Robotics iaitu sebuah syarikat pemula dari Hangzhou, China telah digunakan sepanjang pertunjukan fesyen itu.

Tidak beroperasi secara autonomi sepenuhnya, pergerakan robot dalam acara tersebut telah diprogramkan dan dikawal dari jauh menerusi gabungan sistem praprogram (pre-programmed).

Selain pertunjukan busana, acara tersebut turut menampilkan persembahan tarian koreografi sinkronisasi mengikut rentak muzik rancak.

Acara itu secara tidak langsung mendapat pujian daripada pemerhati teknologi antarabangsa yang menyifatkan kemampuan robot humanoid mampu terlibat dalam aktiviti kreativiti.

Kata pemerhati teknologi robotik antarabangsa, Arthur John, acara ini menjadi bukti jelas bahawa kemajuan AI kini sudah masuk ke industri seni, hiburan dan budaya.

“Kita tidak lagi melihat kehadiran robot ini hanya melibatkan perindustrian, kilang, keselamatan mahupun industri berat sahaja.

“Robot juga mampu menjadi elemen utama dalam menonjolkan kreativiti, budaya dan fesyen,” katanya.

Secara ringkasnya, MACH33: Physical AI Fashion Show menggabungkan model manusia dan robot humanoid dengan mempamerkan konsep fesyen masa depan.

Mengetengahkan visi kebersamaan antara manusia dan robot, acara tersebut mempamerkan pakaian yang direka secara eksklusif oleh Galaxy Corporation memaparkan evolusi teknologi AI dalam industri kreatif dan hiburan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN