PETALING JAYA – Pengeluar teh terbesar Malaysia, Boh melancarkan produk edisi terhad, Permata Cameron bagi meraikan warisan teh negara yang kaya sekali gus menawarkan pengalaman unik buat pengunjung.
Membawa pengalaman selama 97 tahun dalam penanaman dan pemprosesan teh, Permata Cameron adalah hasil adunan premium daripada daun teh yang dipetik dari Ladang Teh Sungei Palas, Cameron Highlands.
Ketua Pegawai Eksekutif Boh Tea, Jason Foo berkata, produk eksklusif itu dirangka khusus untuk memberi peluang kepada para peminat dan pelanggan merasai keunikan teh tanah tinggi Malaysia.
“Kami berharap ia menjadi buah tangan yang bermakna bagi pelancong untuk dibawa pulang sebagai kenangan unik dari Malaysia tambahan pula dengan kempen meraikan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan.
Foo menerangkan, dari sudut kualiti, Permata Cameron menggabungkan teh hitam dengan sitrus seperti lemon, mandarin dan bergamot bagi menghasilkan minuman yang aromatik, menyegarkan dan membangkitkan semangat.
Setiap kotak mengandungi 12 uncang teh berbentuk piramid yang direka untuk infusi rasa optimum yang mana ia selari dengan komitmen kelestarian syarikat.
Lebih menarik, uncang tersebut adalah terbiodegradasi, manakala kotak dan sachet pembungkusannya boleh dikitar semula.
Produk ini dijual pada harga RM19.90 sekotak dan boleh didapati sepanjang tempoh Visit Malaysia 2026 di kedai runcit terpilih, lapangan terbang, pusat pelancongan serta Pusat Teh BOH di Cameron Highlands.
Sejak diasaskan pada 1929 oleh J.A. Russell, BOH terus komited menghasilkan teh berkualiti tinggi yang segar dari ladang terus ke cawan pengguna, mencerminkan landskap dan warisan tanah air. -KOSMO! ONLINE















