KUALA LUMPUR – Sebanyak 46 projek pembangunan bernilai RM207.2 juta diluluskan kerajaan untuk Parlimen Pasir Puteh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk pembangunan infrastruktur kawasan industri hiliran bagi menyokong aktiviti di sekitar stesen kargo Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, antara projek utama ialah kerja-kerja pengendalian tanah dan pembangunan infrastruktur kawasan industri hiliran Pasir Puteh yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi daerah itu.
“Pembangunan kawasan sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh dirancang secara bersepadu menerusi Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PGTA-ECRL) dengan stesen tersebut berfungsi sebagai hab penumpang serta hab kargo dan logistik.
“Lokasi stesen yang berhampiran Tok Bali Supply Base memberi kelebihan kepada Pasir Puteh untuk berkembang sebagai hab logistik dan industri hiliran, sekali gus menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi setempat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai sokongan kerajaan terhadap usaha membangunkan ekonomi hiliran di sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh.
Mohd. Shahar berkata, kerajaan turut mengambil kira kelebihan sesebuah kawasan dalam merancang pembangunan di bawah RMK-13, termasuk memberi keutamaan kepada sektor logistik dan pelancongan mengikut potensi setempat.
Katanya, semua projek akan mula dilaksanakan tahun ini dan disasarkan siap secara berperingkat sehingga 2030, manakala kemajuan pelaksanaannya akan dipantau menerusi sistem MyRMK sebelum dilaporkan kepada Dewan Rakyat dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE















