PUTRAJAYA – Berkongsi rezeki, ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz mencuri perhatian apabila mengagihkan lempeng gulung kepada petugas mahkamah serta wakil media di pekarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Bekas pendidik yang tiba di Mahkamah Persekutuan sekitar pukul 7.30 pagi tadi dilihat sempat mengedarkan kotak sarapan yang turut diisi dengan nasi lemak sebelum masuk ke dalam premis menyertai keluarganya.
“Mudah-mudahan Allah SWT membantu dengan memberikan kemenangan pada hari ini,” katanya kepada Kosmo! Online, di sini, hari ini.
Sharifah Mahani yang hadir bersama suaminya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah dilihat membawa lebih 100 kotak sarapan difahamkan kegemaran keluarganya.
Pada 30 Jun lalu di lokasi sama Syed Saddiq turut mewakilkan ibunya mengagihkan lempeng gulung itu.
Sementara itu, ditanya mengenai perasaannya, Sharifah Mahani, mengakui berasa sayu melalui hari penting ini.
“Saya rasa sebak sangat,” ujarnya ringkas.
Selain ahli keluarga, bakal menantunya juga penyanyi dan pelakon, Bella Astillah turut hadir memberikan sokongan moral kepada Syed Saddiq.
Hari ini adalah keputusan rayuan akhir pendakwaan melibatkan empat pertuduhan jenayah dihadapi Ahli Parlimen Muar itu sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Terdahulu, pada 30 Jun lalu Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir kepada 13 Julai ini selepas seorang daripada tiga anggota panel iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana cuti sakit selama dua hari. – KOSMO! ONLINE















