fbpx
Aset utama kenderaan tempur menjadi tumpuan pengunjung di UniSHAMS, Kuala Ketil kelmarin.

Aksi komando pukau 30,000 pengunjung, rakyat teruja dekati tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Aksi tangkas komando, latihan kepakaran udara mendebarkan serta pameran aset Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) mencuri tumpuan lebih 30,000 pengunjung pada program Tentera Bersama Rakyat di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil di sini.

Program selama empat hari bermula 7 Julai lalu diadakan bersempena Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/1/2026 yang ­berakhir kelmarin.

Seramai lima pegawai dan 33 anggota lain-lain pangkat yang berjaya menamatkan kursus tersebut dianugerahkan beret hijau.

Kehadiran pengunjung yang memenuhi lokasi program membuktikan masyarakat teruja untuk me­nyaksikan sendiri kehebatan anggota Tentera Darat menerusi pelbagai latihan kepakaran taktikal.

Anggota komando menerima beret hijau sempena tamat kursus.

Selain itu, terdapat pameran statik aset ketenteraan, promosi Askar Wataniah dan aktiviti bersama rak­yat yang julung kali diadakan di lokasi tersebut.

Sorakan dan tepukan gemuruh bergema apabila anggota komando mempamerkan pelbagai aksi be­risiko tinggi yang menguji ketahanan fizikal, mental serta kepakaran taktikal sehingga mencetuskan suasana penuh adrenalin dalam kalangan penonton.

Antara latihan kepakaran yang menjadi tumpuan ialah operasi menyelamatkan tawanan perang melibatkan lima helikopter, latihan kombat gerak khas, maneuver helikopter MD530G, terjunan military free fall menggunakan Agusta A109 serta latihan kepakaran fast roping, spie rig dan aerial sniping menggunakan EC725.

Pengunjung turut berpeluang melihat dari dekat aset strategik ketenteraan seperti kereta kebal PT-91M Pendekar, AV8 Gempita, ACV-300 Adnan dan HMAV Lipan Bara, malah ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar bersama kenderaan tempur ber­kenaan.

Antara aksi mendebarkan anggota komando untuk memecahkan bata terbakar.

Lebih menarik, orang ramai turut diberi peluang merasai pe­ngalaman menaiki bot tentera dan Special Operation Vehicle (SOV) menerusi program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC), sekali gus membolehkan mereka merasai sendiri sebahagian pengalaman operasi anggota tentera.

Kanak-kanak dan golongan belia antara paling teruja apabila dapat mendekati anggota ATM, melihat aset ketenteraan dengan lebih dekat serta menyaksikan latihan kepakaran udara, darat dan air yang dipersembahkan sepanjang program tersebut.

Pada program sama turut diadakan Pemeriksaan Kesihatan dan Perubatan (MEDCAP), Pemeriksaan dan Rawatan Pergigian (DENCAP serta forum perdana yang mendapat sambutan pengunjung.
Komandan Pusat Latihan Pe­perangan Khusus (PULPAK), Kolonel Nordin Abu berkata, program itu memberi peluang kepada rakyat mengenali peranan sebenar ATM selain melihat sendiri aset pertahanan negara.

“Selama ini masyarakat hanya melihat aset tentera di televisyen, namun melalui program ini mereka boleh menyentuh, melihat dari dekat malah menaiki bot tempur dan kenderaan tentera serta me­nyaksikan latihan kepakaran helikopter, payung terjun dan aksi taktikal pasukan komando.

“Apabila rakyat memahami tugas anggota tentera, secara tidak langsung semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dapat dipupuk, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan belia,” katanya.

Orang ramai berpeluang beramah mesra dengan anggota kepimpinan Komando.

Beliau berkata, UniSHAMS di­pilih sebagai lokasi penganjuran kerana kedudukannya yang strategik di tengah negeri Kedah, sekali gus memudahkan kehadiran pengunjung dari Alor Setar, Sungai Petani, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.

Katanya, kawasan itu juga mempunyai ramai pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti veteran tentera, sekali gus mampu menjadi platform menyemai minat golongan muda terhadap kerjaya ketenteraan termasuk menyertai Rejimen Askar Wataniah.

Menurut beliau, keluasan kawasan dan kewujudan tasik di ­UniSHAMS membolehkan pelbagai latihan kepakaran operasi darat, udara dan air dipersembahkan dalam satu lokasi.

Nordin berkata, konsep CIMIC diterjemahkan menerusi pendekatan mendekati masyarakat agar rakyat lebih memahami fungsi ATM yang bukan sahaja mempertahankan kedaulatan negara, malah sentiasa bersama masyarakat ketika bencana dan pelbagai program khidmat komuniti.

Beliau berkata, program yang berakhir kelmarin itu bukan sahaja berjaya memupuk semangat patriotisme, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan menerusi penyertaan puluhan gerai jualan.

Pelaksanaan Program CIMIC di UniSHAMS merupakan sebahagian daripada usaha mendokong Teras Ke-4 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan CIMIC.

Pendekatan ini memperkukuh hubungan antara ATM dan masyarakat melalui kerjasama strategik yang menyokong kesejahteraan rakyat serta me­nyemarakkan semangat Pertahanan Menyeluruh (HANRUH). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN