KOTA BHARU – Kos membaiki paip bocor yang menjadi antara penyumbang utama masalah air tidak berhasil (NRW) tinggi di Kelantan dijangka meningkat sehingga RM50 juta setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, kerajaan sebelum ini mengeluarkan belanja kira-kira RM28 juta setahun dan jumlah itu meningkat susulan penggunaan sistem khas bagi mengesan kebocoran paip di seluruh negeri selain kos barangan dan tenaga buruh.
Menurutnya, masalah dihadapi ketika ini antaranya pelaporan paip bocor tidak mencapai piawaian yang sepatutnya berikutan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
“Masalah utama adalah paip-paip kita berada jauh di dalam bumi. Apabila berlaku kebocoran, air tidak naik ke darat, tetapi terserap ke dalam bumi dan hanya boleh diketahui apabila berlaku tekanan air rendah.
“Keadaan itu menyebabkan kita perlu mencari lokasi kebocoran dan ia memerlukan peralatan atau sistem khas yang meningkatkan kos selain penambahan tenaga kerja,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 di sini hari ini.
Izani memberitahu, syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) perlu mengutamakan perkara tersebut dalam menyelesaikan masalah NRW di negeri ini.
Katanya, air yang keluar hilang lebih 50 peratus dan kebocoran tersebut perlu dibaiki sekali gus melibatkan kos yang tinggi.
“Dijangka sebanyak 50,000 kebocoran paip akan dapat dikesan di seluruh Kelantan sehingga akhir tahun ini. Kos penggantian 4,000 kilometer paip di seluruh negeri kini meningkat kepada RM1 juta sekilometer.
“Sehubungan itu, kita berharap ia dapat diselesaikan selari dengan jangkaan penyiapan pembinaan rangkaian LRA seluruh negeri pada 2030.
“Tahap penyelesaian NRW di Kelantan sehingga kini baru mencapai tahap 55 peratus dan dijangka mampu mencapai 40 peratus menjelang 2030 melalui penggantian paip dan penyiapan semua LRA,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, LRA Chicha 2 di sini yang siap dengan kos RM55 juta akan dilancar secara rasmi pada September ini sekali gus dapat mengaktifkan kembali 10,000 akaun di Jalan Pasir Puteh, Telipot, Pasir Hor dan Mulong dengan kapasiti 20 juta liter air sehari. – KOSMO! ONLINE















