fbpx
Nga Kor Ming

Netizen tuntut janji Nga Kor Ming

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hantaran penuh bermakna dimuat naik di laman Facebook oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengundang pelbagai reaksi netizen yang menggesanya menunaikan janji meletakkan jawatan susulan perkembangan politik semasa.

Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP menerusi hantaran itu berkata, beliau masih percaya kepada ‘Malaysian Dream’ yang diperjuangkannya sejak mula berkecimpung dalam politik pada 1996 selain menegaskan telah memberikan yang terbaik sepanjang perjuangannya.

“Saya telah berjuang. Saya telah melakukan yang terbaik. Tuhan akan melakukan selebihnya. Amin,” katanya.

Ruangan komen hantaran itu bagaimanapun dibanjiri pengguna media sosial yang mengingatkan Kor Ming mengenai kenyataannya sebelum ini berhubung kesediaan meletakkan jawatan.

Seorang pengguna Facebook, Najib Faiz secara sinis mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Teluk Intan itu sudah menyediakan surat peletakan jawatan.

“Adakah YB sudah menyediakan surat peletakan jawatan?” soalnya.

Seorang lagi pengguna, Mohd Afuan pula menggesa Kor Ming tidak lagi berlengah sekiranya benar mahu berpegang kepada kenyataan yang dibuat sebelum ini.

“Jika benar dengan pendirian tersebut, sudah tiba masanya untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Pengguna dikenali sebagai Puan Liz yang berseloroh menawarkan bantuan menyediakan surat peletakan jawatan bagi pihak Kor Ming.

“Maklumkan kepada kami sekiranya YB memerlukan bantuan menyediakan surat peletakan jawatan. Yang benar, rakyat,” katanya.

Sementara itu, Nor Aminuddin turut menyindir dengan meminta Kor Ming mengemas meja pejabatnya sebagai tanda sudah tiba masanya untuk berundur.

“Ayuh YB, kemaskan meja pejabat. YB pasti mampu melakukannya,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Menurutnya, DAP juga tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan “garis merah” parti tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN