JOHOR BAHRU – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng, berjaya mempertahankan kerusi tersebut selepas menewaskan pencabarnya dalam saingan dua penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dengan majoriti besar 10,797 undi, berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Calon Barisan Nasional (BN) itu menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Yeo Tung Siong, sekali gus mengekalkan penguasaan BN di kerusi berkenaan dengan majoriti yang jauh lebih besar berbanding pilihan raya lalu.
Kemenangan itu turut mencuri perhatian apabila Tan Eng Meng sekali lagi berjaya menewaskan lawan daripada DAP yang pernah menguasai kerusi DUN Pekan Nanas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, Tan Eng Meng memenangi kerusi DUN Pekan Nanas dengan majoriti 4,835 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan (DAP), Perikatan Nasional (Gerakan) dan Warisan.
Keputusan tidak rasmi kali ini menunjukkan sokongan terhadap BN di DUN Pekan Nanas terus meningkat, namun keputusan rasmi masih tertakluk kepada pengesahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – KOSMO! ONLINE















