PETALING JAYA – Tekanan kerja sebagai seorang pengurus jualan di sebuah syarikat berasaskan makanan dan minuman mendorong seorang wanita untuk menceburi bidang penternakan kambing sehingga aktiviti hariannya itu menjadi perhatian pengguna di media sosial.
Wan Norhasima Wan Samsudin, 34, atau lebih mesra dipanggil Shima berkata, dia bermula sebagai penternak kambing pada tahun 2023 dan ketika ini terdapat 25 ekor yang dipelihara di ladang di Kuala Rompin, Pahang.
Katanya, penglibatannya sebagai penternak kambing banyak mendapat sokongan daripada keluarga terutama suami.
“Saya selalu cakap kepada suami mahu duduk kampung dan menternak sebab tak nak berkawan dengan orang, nak kawan dengan haiwan sahaja.
“Suami kemudian hubungi ayahnya dan bapa mertua yang tolong belikan kambing itu. Dalam masa sebulan sahaja, kami uruskan proses perpindahan, suami dan kami terus menetap di kampung. Saya bermula tanpa sebarang ilmu dan pengalaman, sebaliknya hanya berbekalkan enam ekor kambing sebagai permulaan.
“Saya banyak mencari ilmu di media sosial dan ada kalanya menghubungi pihak veterinar untuk meminta panduan bertanya mengenai rawatan,” katanya yang kini telah menjual lebih 40 ekor kambing.
Katanya, kehidupan sebagai penternak kambing tidak seperti pekerjaan lain kerana menuntut pengorbanan terutama dari segi masa dan tenaga.
“Seawal pukul 7.30 pagi, selepas selesai menyediakan bekal suami, saya akan ke kandang untuk memeriksa kesihatan ternakan, memberi makan, menyapu kandang serta menyusukan anak kambing menggunakan botol.
“Setiap kambing peliharaan saya mempunyai nama khas antaranya Nuar, Minah, Mak Kundur, Rabu, Ferqan, Marfira dan Deeskarputra. Kambing saya memang manja sebab saya selalu bermain dan bersembang dengan mereka dari kecil.
“Setiap ekor ada perangai sendiri, ada yang terlajak manja, nakal dan ada juga yang acah-acah control macho,” katanya.
Menolak stereotaip bahawa bidang penternakan hanya layak digalaskan oleh kaum lelaki, ibu dan isteri ini menyifatkan kerja berat bukanlah satu halangan besar, sebaliknya cabaran sebenar adalah pembahagian masa.
Bagaimanapun, Shima mengakui tugas menjaga kesihatan ternakan terutamanya menguruskan kambing yang pertama kali bunting memerlukan perhatian yang sangat rapi bagi mengelakkan risiko kematian anak.















