PETALING JAYA – Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menggesa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat segera bagi menilai kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan krisis dalaman yang melanda parti itu.
Menurut beliau, kenyataan Presiden Bersatu bahawa kemelut parti akan diselesaikan secara dalaman masih gagal menjawab persoalan utama sama ada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) masih memenuhi syarat korum seperti diperuntukkan di bawah Fasal 13.12 Perlembagaan Bersatu.
Katanya, perletakan jawatan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi turut mencerminkan kegagalan kepimpinan parti menguruskan krisis sehingga hilang keyakinan dalam kalangan sebahagian besar barisan kepimpinan tertinggi.
“Sekiranya syarat korum tidak lagi dipenuhi, timbul persoalan terhadap keabsahan setiap keputusan yang dibuat MPT, malah Bersatu berisiko berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran serta tidak berupaya membuat keputusan yang sah mengikut perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ronald berkata, kemelut berpanjangan itu bukan sahaja boleh membawa kepada campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), malah berpotensi menjejaskan kedudukan Bsersatu dalam PN serta persiapan gabungan berkenaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik perlu mengatasi kepentingan mana-mana individu bagi memastikan kestabilan, kredibiliti dan kesiapsiagaan gabungan tersebut terus terpelihara.
“Jika krisis ini terus berlarutan tanpa penyelesaian, ia hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan PN menawarkan kepimpinan yang stabil, berintegriti dan berwibawa,” katanya. – KOSMO! ONLINE















