KUALA LUMPUR – Pemain yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal berada dalam senarai 26 pemain yang bakal sertai latihan pusat Harimau Malaya menjelang Piala ASEAN 2026, hujung bulan ini.
Barisan pemain yang dipanggil oleh pengendali negara, Tan Cheng Hoe ini akan memulakan latihan, Rabu ini sebelum berlepas ke Yangon untuk menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, 25 Julai.
“Panggilan ini dibuat selepas penilaian dan penelitian panjang dibuat oleh Cheng Hoe.
“Beliau menghadapi satu situasi sukar dalam menyediakan pasukan bagi menghadapi Piala Hyundai ASEAN 2026 ini kerana seperti yang semua sedia maklum, kejohanan ini berlangsung di luar kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan juga ketika kelab-kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super 2026/27 baru saja memulakan latihan pra musim masing-masing,” menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Seperti dijangka, faktor pertandingan di luar kalendar FIFA menyaksikan pemain berstatus bintang seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Dion Cools tidak berada dalam senarai kali ini.
Dua lagi pemain beraksi di luar negara yang turut dipanggil adalah Hadi Fayyadh Abdul Razak (Vencendor Mie United) dan Richard Chin (Ross County FC).
Paling mencuri perhatian pada panggilan kebangsaan kali ini adalah kelibat Syafiq Ahmad yang sebelum ini sering menjadi pemain pilihan Cheng Hoe. – KOSMO! ONLINE















