KUANTAN – Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan penunggang motosikal Yamaha RXZ yang terlibat dalam kejadian kemalangan maut di Kilometer 246.4 di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di sini terlibat dalam perlumbaan haram di lebuhraya berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pada masa ini siasatan sedang giat dilakukan daripada segenap aspek.
Berdasarkan rakaman dashcam sebuah kereta berdurasi satu minit yang tular mendapati sekumpulan pemandu motosikal memandu laju daripada daripada sebelah kiri dan kanan kereta berkenaan sebelum terdapat serpihan motosikal yang terlibat kemalangan.
Hari ini Kosmo! Online melaporkan empat penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1).
Mangsa yang maut ialah Che Mohd Sufian Bin Che Ghani,40; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan,33; Muhammad Safawi Md Noh, 24 dan Mohd Aizat Husni,33.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi berlaku ketika kesemua mangsa bersama sekumpulan penunggang motosikal lain dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu.
Katanya, lebih daripada 30 buah motosikal dipercayai jenis Yamaha RXZ terlibat dalam kejadian kemalangan maut yang mengorbankan empat penunggang motosikal di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE















