PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 14 akaun bank terdiri daripada lima akaun syarikat dan sembilan akaun perbankan milik beberapa individu dianggarkan berjumlah kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan itu susulan siasatan ke atas 33 individu terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 yang melibatkan warga asing.
Menurut sumber, operasi bersepadu yang dijalankan Rabu lalu melalui Bahagian Perisikan dan SPRM Negeri itu turut menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM1.4 juta.
Tambah sumber, sitaan yang dilakukan hari ini termasuklah wang tunai berjumlah RM393,150 selain mata wang Indonesia, 10 unit kereta mewah dan tiga unit motorsikal dianggarkan berjumlah kira-kira RM1.8 juta.
Turut disita ialah 14 keping emas dianggarkan bernilai kira-kira RM8,300 selain 80 unit pelbagai jenis barangan kemas seperti gelang tangan dan cincin bernilai kira-kira RM118,500 dan tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM42,200.
Sitaan turut melibatkan satu unit beg tangan mewah bernilai kira-kira RM9,000 dan 17 unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM48,000.
“Sehingga hari ini sebanyak sembilan Kertas Siasatan (KS) telah dibuka dan melalui operasi bersepadu di empat buah negeri yang dijalankan Rabu lalu dan SPRM telah melakukan sitaan dan membekukan akaun syarikat dan individu yang terlibat.
“Semalam SPRM turut menahan seorang lagi penguat kuasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan. Bagaimanapun beliau telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya hari ini.
Rabu lalu, SPRM menahan seramai 38 individu dan telah menahan reman seramai 33 individu yang terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing
melalui Op Layer (SPRM Putrajaya), Op Dalang (SPRM Selangor), Op Raider (Negeri Sembilan) dan Op Genuine (Melaka).
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE















