MALAYSIA destinasi strategik yang sering kali mendominasi carta pilihan sutradara tersohor Bollywood sebagai latar utama naskhah perfileman mereka. Kecenderungan ini sebahagian besarnya didorong oleh kepelbagaian landskap negara yang hibrid menggabungkan kehebatan seni bina moden dan keindahan alam semula jadi, sekali gus menjadikannya latar visual ideal bagi babak muzikal serta koreografi tarian yang menjadi identiti sinema India.
Antara mercu tanda ikonik yang kerap menghiasi filem Hindi adalah Menara Berkembar Petronas (KLCC), Stadium Nasional Bukit Jalil, serta gugusan pulau-pulau peranginan yang terkenal sekitar tanah air.
Minggu ini HibGlam menyajikan sorotan eksklusif mengenai lima buah filem Bollywood popular yang mengangkat pesona Malaysia sebagai latar belakang dalam penceritaan mereka.

Don 1 & Don 2
Filem Don arahan Farhan Akhtar yang dibintangi Shah Rukh Khan dan Priyanka Chopra merupakan antara filem paling banyak menampilkan babak di Malaysia. Sebanyak 80 peratus latar penggambaran Don dilakukan di Malaysia. Antara lokasi yang ditampilkan dalam filem ini adalah Kuala Lumpur, Pulau Langkawi dan Melaka.
Selain lokasi, Don turut menampilkan pelakon tempatan antaranya Allahyarham Ridzuan Hashim dan Datuk Adi Putra.

Roy
Filem Roy yang diterbitkan pada 2015 dibintangi bintang popular Ranbir Kapoor, Arjun Rampal dan Jacqueline Fernandez.
Filem ini menjalani penggambaran di beberapa lokasi tumpuan pelancong sekitar Malaysia antaranya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.
Para pelakon filem ini juga dilihat bersiar-siar di Pulau Pinang. Malah penduduk tempatan turut berkongsi foto mereka bersama barisan pelakon dalam media sosial. Lebih menarik, Jacqueline berkongsi perasaan gembira dapat menjalani penggambaran di Malaysia kerana ibunya merupakan warganegara tempatan.

Yaadein
Filem Yaadein dibintangi dua pelakon terkenal iaitu Hrithik Roshan dan Kareena Kapoor. Filem ini menjalani penggambaran di Pulau Langkawi untuk babak yang menampilkan Hrithik dan Kareena terlibat dalam perlumbaan basikal. Menariknya, lagu dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Balqis turut kedengaran dalam salah satu babak filem tersebut.

Humraaz
Filem popular bergenre suspen thriller ini dibintangi Bobby Deol, Akshaye Khanna dan Amisha Patel. Beberapa babak penting dalam filem ini menjalani penggambaran di Malaysia. Antara lokasi popular yang ditampilkan dalam filem ini adalah sekitar KLCC dan Tokong Thean Hou.

Hum Kisise Kum Nahin
Filem arahan David Dawan ini dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Amitabh Bachchan, Aishwarya Rai, Sunjay Dutt dan Ajay Devgan.
Filem bergenre aksi komedi ini menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan pulau peranginan terkenal.















