TONGGAK import baharu Selangor FC, Eduardo Sosa bakal diberi peranan besar untuk menjadi ‘jeneral’ pasukan selepas diberikan jersi keramat No. 10 bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.
Pemain tengah menyerang kelahiran Venezuela berusia 30 tahun itu dijangka tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan saingan tempatan selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama Imigresen FC (kini Star City) pada musim lepas.
Berdasarkan rakaman sesi latihan pramusim skuad Gergasi Merah yang bermula minggu ini, Sosa yang telah menyumbang 11 gol dan empat bantuan jaringan dalam semua pertandingan diberikan kepercayaan untuk menyarung jersi No. 10.
Sementara itu, Mukhairi yang telah menggunakan angka keramat No. 10 sejak empat tahun lalu pula memakai jersi latihan No. 29.
Menurut Sosa, cabaran utama pada musim ini adalah untuk segera menyesuaikan diri dengan falsafah yang diterapkan jurulatih, Kim Pan-gon untuk membantu Selangor memburu kejayaan musim ini.
“Sasaran saya adalah untuk cepat menyesuaikan diri, membina keserasian dengan rakan sepasukan dan menghiburkan penyokong dengan corak permainan menyerang yang positif. Saya tidak sabar untuk membuka buku baharu bersama Gergasi Merah,” katanya.
Sementara itu, Pan-gon percaya Sosa memiliki kualiti untuk beraksi di pelbagai posisi sekali gus memberi lebih banyak pilihan taktikal kepada pasukan.
“Kami memang mencari pemain yang mampu memberikan impak besar di bahagian serangan dan Sosa memiliki semua kualiti yang kami perlukan.
“Selain itu, dia juga mempunyai naluri menjaringkan gol dan tidak pernah takut memikul tanggungjawab pada saat-saat penting,” katanya.















