fbpx
ANUTIN ketika berucap pada Majlis Perasmian Jajaran Jalan Baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao di Bukit Kayu Hitam, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

Keamanan di sempadan jadi keutamaan Malaysia, Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menegaskan keamanan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand menjadi antara agenda utama yang diberi perhatian serius oleh kedua-dua kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu merupakan satu-satunya isu utama yang masih perlu diberi tumpuan selepas kebanyakan perkara yang dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mencapai persetujuan.

“Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Anwar, hampir semua perkara yang kita bincangkan telah berjaya diselesaikan. Hanya tinggal satu perkara lagi iaitu usaha mewujudkan keamanan.

“Dalam perbincangan peribadi kami, kami berjanji bahawa kedua-dua pentadbiran akan berusaha sedaya upaya untuk membawa keamanan di kawasan sempadan negara kita sepanjang tempoh pentadbiran ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jajaran Jalan Baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha mewujudkan keamanan itu tidak boleh sekadar menjadi harapan, sebaliknya perlu dilaksanakan sehingga berjaya demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.

“Kita tidak boleh hanya berkata ia mungkin boleh dicapai. Sebaliknya, kita mesti berkata bahawa kita akan berjaya melaksanakannya dan ia pasti menjadi kenyataan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anutin berkata, pembukaan jajaran jalan baharu itu membuktikan komitmen erat Malaysia dan Thailand dalam memperkukuh hubungan dua hala selain memudahkan perjalanan rentas sempadan.

Katanya, laluan tersebut bukan sahaja melancarkan pergerakan orang ramai dan barangan, malah mengurangkan kesesakan di pintu masuk sempadan yang paling sibuk antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut membincangkan beberapa inisiatif bagi memperkukuh hubungan antara Songkhla dan Kedah, Satun dan Perlis serta Narathiwat dan Kelantan.

“Hubungan yang lebih baik akan membuka potensi sepenuhnya bagi selatan Thailand dan utara Malaysia. Seiring dengan projek-projek kesalinghubungan ini, kita juga akan memperkukuhkan kerjasama untuk merangsang ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan sempadan,” jelasnya.

Kata beliau, Thailand akan melengkapkan semua rangkaian pengangkutan darat dan laut yang masih belum bersambung bagi memperkukuh kesalinghubungan dengan Malaysia, sekali gus mempercepat pergerakan rakyat serta barangan antara kedua-dua negara.

Menurutnya, langkah itu membolehkan barangan dari Malaysia dihantar ke utara Thailand, malah sehingga ke China dan berpotensi ke Rusia dalam tempoh yang lebih singkat, manakala barangan dari Thailand dan China pula dapat disalurkan ke Singapura serta Indonesia dengan lebih pantas melalui Malaysia.

“Inilah rangkaian kesalinghubungan yang sedang kita bina antara kedua-dua negara dan komitmen kerajaan Thailand kepada Malaysia. Kami berharap terus mendapat sokongan Malaysia supaya kerjasama ini dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN