SEJAK sekian lama, Piala Dunia mempunyai kuasa ‘sakti’ untuk mengubah nasib dan kehidupan seseorang sama ada pemain, ahli keluarga mereka, jurulatih mahupun penyokong.
Dalam edisi Piala Dunia 2026 yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada ketika ini, seorang pemain tidak dikenali dunia tiba-tiba menjadi popular dalam sekelip mata.
Individu tersebut ialah Vozinha yang merupakan wira kepada pasukan Cape Verde. Penjaga gol berusia 40 tahun itu berjaya mencuri perhatian dunia dengan ketangkasannya menepis deretan percubaan pasukan gergasi Eropah, Sepanyol.
Hasil kehebatan Vozinha di gawang, pasukan dari negara kepulauan Afrika berpopulasi 600,000 orang itu berjaya mengikat Sepanyol dengan keputusan 0-0.
Selepas 24 jam perlawanan berkenaan berakhir, pengikut Instagram Vozinha melonjak daripada sekitar 50,000 kepada 7 juta.
Aksi dramatik Cape Verde menentang juara dunia, Argentina pada pusingan 32 yang berakhir dengan keputusan 2-3 pada minggu lalu turut menyaksikan pengikutnya di Instagram melonjak mendadak kepada 27 juta orang.
Sekiranya kita ingin membandingkan dalam konteks angka, pengikut Vozinha ketika ini lebih ramai daripada pemain seperti Bukayo Saka dari England dengan 8.1 juta; kapten Norway, Martin Odegaard (7.2 juta) dan bintang AS, Christian Pulisic (7.5 juta).
Selain aksi cemerlang pemain veteran itu di atas padang, latar belakangnya turut menjadi inspirasi kepada peminat bola sepak di seluruh dunia.
Vozinha bukanlah seorang pemain bola sepak profesional sehinggalah dia berusia 25 tahun. Dia memulakan karier di Cape Verde, sebelum berhijrah ke Moldova, Portugal, Cyprus dan Slovakia untuk bermain di sana.
Malah, ibu Vozinha yang menetap di Cape Verde dikatakan tidak mampu membayar kos visa yang diperlukan untuk melihat anaknya beraksi di AS, sebelum akhirnya dibantu oleh seseorang.
Menurut wakil agensi sukan terkemuka, Owen Laverty, kisah Vozinha membuktikan bahawa ada individu yang menjadi ikon bukan kerana dia paling berbakat dan meraih trofi utama dalam sesuatu kejohanan.
“Sebaliknya, seseorang itu boleh menjadi ikon kerana momen tertentu atau kisah kehidupan mereka. Vozinha bukan sahaja mewakili kisah pasukan ‘underdog’, malah ia mencerminkan budaya bola sepak ketika ini,” ujarnya.
Bagi penulis, kisah Vozinha tidak lama lagi akan standing dengan seorang lagi pemain bintang sensasi dari Afrika, Roger Milla yang namanya cukup sinonim dengan Piala Dunia 1990.
Nama Milla cukup diingati oleh peminat bola sepak di seluruh dunia berbanding pemain-pemain hebat ketika itu kerana aksinya menari di bendera penjuru padang selepas menjaringkan gol.
Tarian tersebut juga dilakukan sebagai tanda meraikan kejayaan pemain berasal dari Cameron itu membuat penampilan sulungnya dalam Piala Dunia pada usia 38 tahun.
Secara dasarnya, kisah Vozinha membuktikan bahawa Piala Dinia masih menjadi salah satu platform global untuk seseorang itu diingati dan menjadi inspirasi kepada orang ramai di serata negara.















