MELAKA – Lelaki yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini semalam, direman empat hari, bermula hari ini.
Perintah reman sehingga 13 Julai itu dikeluarkan Majistret N. Sivashangari selepas membenarkan permohonan polis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, suspek berusia 28 tahun yang berasal dari Johor tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum dibawa masuk ke kamar mahkamah bagi permohonan reman.
Semalam, Kosmo! melaporkan sebuah kenderaan MPV polis dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di bahu jalan di Lebuh AMJ dekat Semabok di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan, namun kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati MPV PDRM terbabit sedang menjalankan rondaan di kawasan pentadbiran Balai Polis Kandang dan Balai Polis Tiang Dua.- KOSMO! ONLINE















