KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah sintetik yang aktif membekalkan pelbagai jenis dadah ke pusat hiburan di sekitar Lembah Klang dan Kuantan, Pahang, tumpas menerusi Op Musca pada 3 Julai lalu dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan aset mencecah RM14.6 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun diberkas dalam lima siri serbuan yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Kuantan.
Menurutnya, polis turut merampas 84.3 kilogram (kg) serbuk MDMA, 4.4kg pil ekstasi, 2.4kg ketamin serta 730 gram pil erimin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13.2 juta.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Januari lalu dan menjadikan kondominium sebagai lokasi penyimpanan serta pembungkusan dadah sebelum diedarkan ke pusat hiburan di sekitar Lembah Klang dan Kuantan.
“Mereka turut menggunakan beberapa lokasi berasingan sebagai langkah mengurangkan risiko dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati empat daripada tujuh suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 4 Julai hingga hari ini.
“Semakan turut mendapati hanya seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes judi,” ujarnya.
Hussein berkata, JSJN turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset bernilai RM1.28 juta, termasuk 10 kenderaan, 11 jongkong emas seberat 476.1 gram, 35 barangan kemas, tiga jam tangan mewah, dua beg berjenama serta wang tunai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – KOSMO! ONLINE














