fbpx
Suspek dikawal ketat ketika dibawa keluar selepas pertuduhan di Mahkamah Telok Datok, Banting di Kuala Langat. Foto Saddam Yusoff/ KOSMO!

Tikam pelajar: Suspek austime jalani rawatan psikiatri sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Pelajar perempuan yang didakwa menikam rakannya di sebuah sekolah menengah di Banting Isnin lalu diperintahkan menjalani penilaian dan rawatan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat yang bersidang sebagai Mahkamah Kanak-Kanak sejurus pertuduhan cubaan membunuh dibacakan terhadap tertuduh berusia 15 tahun berkenaan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang disahkan menghidap autisme.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh seorang pelajar perempuan seusianya dengan menikam mangsa menggunakan sebilah pisau dengan mempunyai niat menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan sebuah sekolah menengah di Bandar Banting kira-kira pukul 9.50 pagi, Isnin lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Peguam bela tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya menjalani penilaian tahap kesihatan mental oleh pakar psikiatri.

Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Amirul Syafiq Yazid.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Prosiding yang dijalankan secara tertutup kerana melibatkan pesalah kanak-kanak itu turut dihadiri ibu tertuduh.

Terdahulu, pekarangan mahkamah tersebut menjadi tumpuan pelbagai pengamal media sejak pukul 7.15 pagi.

Kosmo! semalam melaporkan rasa tidak puas hati serta perasaan terpendam terhadap beberapa individu yang didakwa membulinya dipercayai antara faktor yang mendorong suspek bertindak menikam mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan awal mendapati dakwaan suspek berkaitan kejadian buli itu masih belum disokong dengan keterangan yang membuktikan insiden berkenaan benar-benar berlaku.

Kejadian mengemparkan itu dikatakan berlaku ketika mangsa yang berusia 15 tahun itu diserang dengan sebilah pisau
ketika dia hendak duduk selepas membeli roti di kantin.

Mangsa dikatakan telah ditikam sehingga 16 tikaman dengan kebanyakkan di bahagian belakang badan selain terkena pada bahagian paru-paru kiri mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN