SUNGAI GOLOK, THAILAND – Dua rakyat Malaysia dicekup selepas dipercayai terlibat kes kecurian sebuah motosikal sewa dan memiliki dadah di sebuah bilik hotel di sini kelmarin.
Kedua-dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun itu ditahan selepas anggota polis menjalankan serbuan di hotel tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Thun Sirikhunt berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan sebuah motosikal sewa daripada seorang pengusaha.
Katanya, siasatan mendapati, salah seorang daripada suspek menyewa motosikal di hadapan sebuah hotel di bandar ini menggunakan kad pengenalan milik individu lain.
“Suspek bagaimanapun tidak memulangkan motosikal tersebut mengikut tempoh yang ditetapkan sebelum pemilik kenderaan tersebut membuat laporan polis.
“Polis berjaya mengesan pergerakan suspek menerusi penelitian rakaman televisyen litar tertutup sebelum menyerbu sebuah bilik hotel di sini,” katanya.
Sirikhunt memberitahu, pemeriksaan di dalam bilik hotel itu turut menjumpai sebanyak 11 biji pil kuda dan empat biji pil Eramin 5.
Menurutnya, siasatan mendapati, pemilik kad pengenalan yang digunakan bagi menyewa motosikal tersebut tidak terlibat dalam kegiatan berkenaan.
“Sehubungan itu, kita masih memburu seorang lagi rakyat Malaysia berusia dalam lingkungan 20-an yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
“Motosikal yang dilaporkan hilang sudah ditemui semula susulan penahanan kedua-dua suspek,” ujarnya.
Beliau berkata, pengusaha kereta dan motosikal sewa di Sungai Golok perlu memperketatkan proses pengesahan identiti penyewa termasuk memasang sistem pengawasan kenderaan bagi memudahkan usaha pengesanan sekiranya berlaku jenayah. – KOSMO! ONLINE














