JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau lebih selesa menjalinkan kerjasama dengan DAP kerana menyifatkan pemimpin parti itu mempunyai integriti yang lebih tinggi berbanding parti-parti berteraskan masyarakat Cina yang lain.
Katanya, beliau tidak gentar dengan tohmahan pihak tertentu yang melabelnya sebagai ‘alat Cina’ semata-mata kerana bekerjasama dengan DAP.
Menurutnya, dakwaan tersebut hanya memainkan sentimen perkauman yang boleh menghalang kemajuan negara.
“Negara ini boleh menjadi hebat dan selamat sekiranya kita menghentikan politik perkauman serta sikap pelampau. Mereka tuduh saya alat Cina. Beritahu apa yang saya serahkan kepada orang Cina? Apa yang saya buat sehingga dikatakan begitu?.
“Bagi saya, lebih selamat, lebih baik dan lebih berintegriti berkawan dengan DAP daripada parti Cina mereka,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Harapan Johor Selatan di Puteri Wangsa di sini malam semalam.
Turut hadir calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri itu turut mempertahankan rekod Kerajaan Madani yang menurutnya berjaya memulihkan tanah rizab Melayu, berbeza dengan pentadbiran terdahulu.
“Dulu ketika mereka memerintah, tanah rizab Melayu terlepas. Apabila kita memerintah, buat pertama kali dalam sejarah kita berjaya memulihkan kira-kira 50 hektar tanah rizab Melayu.
“Ini kerajaan Madani. Kita bercakap terus terang, tetapi pada masa sama kita tidak akan menghalang pembangunan dan kemajuan masyarakat Cina,” katanya.
Beliau turut mendakwa Kerajaan Madani berjaya menyelesaikan beberapa isu berkaitan pendidikan masyarakat Cina yang gagal diselesaikan sebelum ini termasuk berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Jelasnya, isu tersebut telah lama diperjuangkan MCA, namun hanya dapat diselesaikan selepas PH menerajui kerajaan.
Pada masa sama, Anwar berkata beliau sebelum ini cuba mengelakkan daripada mengulas mengenai rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan demi menjaga kestabilan politik negara.
Bagaimanapun, beliau mendakwa terpaksa memberikan penjelasan selepas diasak dengan pelbagai kenyataan daripada pimpinan Barisan Nasional (BN), termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya mahu kerajaan gabungan ini terus stabil dan berfungsi dengan baik. Tetapi apabila ada pihak dalam gabungan sendiri menyerang serta membuat pelbagai dakwaan, saya perlu memberi penjelasan kepada rakyat,” katanya.
Mengulas isu pelepasan cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Anwar menegaskan beliau sendiri hadir ke universiti berkenaan bagi menyampaikan bantuan kerana percaya pendidikan perlu dibantu tanpa mengira kaum.
“Saya orang Melayu, berakar umbi dalam masyarakat Melayu, tetapi saya tidak pernah keberatan membantu TAR UMT kerana ia adalah institusi pendidikan rakyat Malaysia.
“Kalau pendidikan itu memberi manfaat kepada rakyat, sama ada Melayu atau Cina, mengapa perlu dipersoalkan?” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata keputusan kerajaan meluluskan pelanjutan tempoh pelepasan cukai kepada TAR UMT selama 10 tahun adalah hasil perjuangan berterusan MCA dalam kerajaan. – KOSMO! ONLINE






