TAMPIN – Seorang tukang masak maut selepas kereta dinaikinya terlibat kemalangan di Kilometer 11, Jalan Jelai-Pasir Besar, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu Proton Wira berusia 38 tahun yang dalam perjalanan pulang dari kerja.
Kereta mangsa dipercayai berlanggar dengan kenderaan lain dinaiki dua beranak yang dalam perjalanan menjemput ahli keluarga selesai menghadiri temuduga di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Wira dipandu mangsa dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Kereta itu kemudian merempuh bahagian hadapan sebuah Perodua Axia dari arah Kampung Ulu Ladang menghala ke F&N Jelai yang dipandu seorang jururawat berusia 43 tahun bersama anak lelakinya berusia tujuh tahun.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu Proton Wira mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pemandu Perodua Axia dan anaknya turut mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan manakala mangsa yang maut dihantar ke unit forensik hospital sama. – KOSMO! ONLINE














