BATU PAHAT – Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa masalah banjir di Batu Pahat, Muar dan Segamat telah berjaya diselesaikan selepas mengambil alih kerajaan pada 2022 lalu.
Menurut Anwar, masalah yang telah berlarutan sejak puluhan tahun itu berjaya diselesaikan melalui bantuan yang memerlukan kos agak besar, sebagai usaha untuk memastikan rakyat tidak lagi terkesan dengan bencana alam tersebut.
Katanya, walaupun sebelum ini Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran Barisan Nasional, namun bantuan seperti ini perlu diutamakan demi kesejahteraan rakyat.
“Bantuan diberikan tanpa mengira samada mereka memberikan sokongan kepada kita atau tidak, termasuk di Kelantan yang berada di bawah pentadbiran Pas.
“Projek mengatasi banjir di Johor sudah pun bermula dan ia dilakukan bagi membolehkan rakyat yang terkesan mendapat pembelaan,” katanya ketika berucap di program Yok! Merahkan Johor, Undi Harapan di Banang Jaya Batu Pahat, malam ini. – KOSMO! ONLINE














