KUALA LUMPUR – Bekerja siang dan malam bagi menampung kos kehidupan dijangka menjadi realiti buat lebih ramai rakyat negara ini sekiranya pertumbuhan gaji terus ketinggalan berbanding peningkatan kos sara hidup.
Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dalam situasi itu, pendapatan daripada kedua-dua pasangan yang bekerja mungkin tidak lagi dianggap sebagai pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan bagi memastikan kestabilan kewangan keluarga.
Menurutnya, pekerjaan sampingan juga dijangka terus berkembang sebagai strategi menambah pendapatan, sekali gus menjadikan trend melakukan dua atau tiga pekerjaan sebagai norma baharu, khususnya dalam kalangan keluarga muda yang tinggal di bandar besar.
“Trend rakyat melakukan lebih daripada satu pekerjaan sememangnya semakin ketara, khususnya di bandar.
“Walaupun tidak semua individu mengambil pekerjaan kedua kerana kesempitan kewangan, terdapat peningkatan dalam kalangan mereka yang menjadikan pekerjaan sampingan sebagai sumber pendapatan tambahan.
“Perkembangan ekonomi gig, platform digital dan fleksibiliti waktu bekerja turut memudahkan individu menjana pendapatan selain kerja hakiki,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau berkata, faktor utama yang mendorong trend itu adalah peningkatan kos sara hidup, perubahan gaya hidup dan keinginan meningkatkan simpanan dan membina ketahanan kewangan.
Selain itu, ada yang mengambil peluang melakukan kerja sampingan untuk mengembangkan kemahiran, membina perniagaan sendiri atau membuat persediaan kewangan bagi pendidikan anak-anak, pembelian rumah dan persaraan.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, kestabilan kewangan merupakan antara pendorong utama apabila kos perumahan, makanan, pengangkutan, pendidikan dan penjagaan kesihatan terus meningkat.
“Isunya bukan semata-mata berkaitan kos sara hidup, tetapi jurang antara kadar pertumbuhan pendapatan dengan peningkatan kos kehidupan.
“Apabila kenaikan gaji tidak berlaku pada kadar yang setanding dengan inflasi dan peningkatan harga aset, isi rumah cenderung mencari sumber pendapatan tambahan bagi mengekalkan taraf hidup, mengurangkan beban hutang serta meningkatkan simpanan kecemasan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan keadaan itu perlu diberi perhatian kerana bekerja terlalu lama tanpa keseimbangan hidup boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental, produktiviti serta kesejahteraan institusi keluarga.
Justeru, katanya, penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan adalah meningkatkan produktiviti ekonomi supaya pertumbuhan gaji sebenar dapat dipertingkatkan, selain memperkukuh peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan mengawal tekanan kos sara hidup.














