JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merayu rakyat negeri ini supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dengan memilih berdasarkan janji manis dan hasutan politik sehingga menyebabkan ‘pisang berbuah dua kali’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Walaupun dirinya yakin Barisan Nasional (BN) berada di landasan tepat untuk terus mentadbir Johor, namun katanya masih ada kebimbangan sekiranya pengundi sekali lagi terpengaruh dengan naratif yang pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
“Saya ada keyakinan, tetapi pada masa sama saya tetap risau peristiwa 2018 berulang kembali. Apabila orang diberi harapan palsu, janji-janji kosong dan janji bulan bintang, saya bimbang bangsa Johor akan termakan perkara itu.
“Sebab itu walaupun saya yakin, tetap ada sedikit kerisauan supaya pisang tidak berbuah dua kali,” katanya ketika ditemui Kosmo! secara eksklusif di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di Saujana di sini semalam.

Menurut Pengerusi BN Johor itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan BN telah membuktikan keupayaannya mentadbir Johor sepanjang lebih empat tahun lalu dengan merekodkan pelbagai pencapaian membanggakan.
Katanya, Johor berjaya mencatat pelaburan antara yang tertinggi di negara ini, pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta meningkatkan pelbagai peluang pekerjaan kepada anak-anak Johor.
Jelasnya, hasil pembangunan itu turut dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ), pembangunan perumahan, bantuan mahasiswa, sekolah rintis Bangsa Johor serta program pembangunan belia.
“Semua ini membuktikan kita adalah pentadbir yang efektif. Namun masih banyak lagi yang boleh dicapai sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada BN untuk lima tahun akan datang,” katanya.

Onn Hafiz berkata, pihak lawan pula dilihat lebih gemar memainkan sentimen agama dan perkauman berbanding menawarkan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi rakyat justeru rakyat tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan naratif tersebut.
“Johor ada cara Johor. Kita bangga dengan konsep Bangsa Johor yang menyatukan Melayu, Cina, India dan semua kaum di negeri ini.
“Selepas pilihan raya selesai, mereka yang datang berkempen akan pulang ke negeri masing-masing, tetapi yang tinggal di sini ialah kita. Sebab itu kita sendiri perlu menjaga keharmonian Johor,” katanya.
Mengulas strategi saat akhir kempen, beliau berkata, semua jentera BN diarahkan terus menyantuni pengundi sehingga ke saat terakhir selain memperbanyakkan solat hajat dan doa selamat bagi memohon dipermudahkan urusan pada hari pengundian.

Beliau turut menggesa rakyat Johor yang menetap di negeri itu supaya berkongsi dengan ahli keluarga yang pulang mengundi mengenai pencapaian kerajaan negeri sepanjang lebih empat tahun lalu.
“Saya minta mereka ceritakan sendiri apa yang telah berlaku di Johor, bagaimana ekonomi berkembang, peluang pekerjaan diwujudkan dan kebajikan rakyat terus dijaga supaya mereka membuat keputusan berdasarkan fakta, bukannya fitnah atau hasutan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa walau apa pun keputusan pilihan raya nanti, kepentingan lebih empat juta rakyat Johor akan terus menjadi keutamaan dan setiap pemimpin perlu bersikap profesional demi memastikan pembangunan negeri terus dipacu.















