PRESTASI cemerlang pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli pada musim sulung Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 mula menarik perhatian pasukan-pasukan ternama apabila sekurang-kurangnya enam pasukan dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.
Pengurusnya, Zulfahmi Khairuddin mengesahkan dia kini sedang mengadakan beberapa pertemuan penting di Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring bagi membincangkan masa depan pelumba berusia 19 tahun itu yang semakin mencuri perhatian di pentas dunia.
Menurut bekas pelumba Moto3 negara itu, lima daripada pasukan yang berminat merupakan pasukan Moto3, manakala satu lagi datang daripada pasukan Moto2, sekali gus memberi bayangan bahawa perkembangan karier Hakim Danish sedang dipantau rapat.
“Ya, memang sekarang ramai pasukan sedang mengejar Danish. Bukan saja kerana prestasinya di litar, tetapi dia juga berasal dari Malaysia dan mempunyai kelompok penyokong yang besar.
“Pasukan-pasukan ini telah menghubungi saya dan sebab itu saya ke Sachsenring minggu ini untuk berunding dengan beberapa pasukan yang berpotensi bagi musim depan,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Zulfahmi enggan mendedahkan identiti pasukan terbabit, namun memberi bayangan bahawa beberapa daripadanya berada dalam kelompok teratas kejuaraan dan dianggap antara pasukan paling kompetitif di Moto3 ketika ini.
Zulfahmi turut menjelaskan, keutamaan masih diberikan kepada pasukan semasa, MT Helmets-MSi yang sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk menyambung kontrak Hakim Danish lebih awal, namun semua pilihan akan dinilai sebelum keputusan dimuktamadkan.
Beberapa bintang Moto3 seperti David Almansa dan Maximo Quiles dijangka melangkah ke Moto2, sekali gus membuka peluang kepada pelumba muda lain untuk mengisi kekosongan dalam pasukan elit termasuk Hakim Danish.














