fbpx
Gambar hiasan.

8,462 calon guru bakal ditempatkan September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 8,462 calon guru dijangka ditempatkan di sekolah seluruh negara pada September ini sebagai langkah berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) menangani isu kekurangan guru.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu melibatkan 5,829 calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dan 2,633 calon simpanan.

Menurut beliau, penempatan tersebut merupakan antara langkah konkrit KPM bagi memastikan keperluan tenaga pengajar di sekolah rendah dan menengah dapat dipenuhi secara optimum.

“KPM sentiasa memberi perhatian terhadap perkara berkaitan pengisian guru dan keseimbangan dalam membuat taburan agihan guru baharu di seluruh negara.

“Langkah ini bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai langkah konkrit bagi mengatasi isu penempatan guru yang masih tidak selesai dalam keadaan sekolah masih kekurangan guru.

Mengulas lanjut, Wong berkata, berdasarkan pengisian guru semasa, jumlah guru yang sedang berkhidmat adalah seramai 422,325 orang dengan kadar pengisian sebanyak 98 peratus.

Katanya, peratus pengisian itu selaras dengan penetapan pengisian oleh agensi pusat.

Sehingga Jun lalu, beliau berkata, KPM telah menempatkan seramai 8,042 guru baharu bagi memenuhi kekosongan jawatan serta keperluan opsyen di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

“Selain itu, seramai 549 pelajar Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan Perdana akan tamat pada Oktober 2026 dan dijangka akan ditempatkan pada Januari 2027,” ujarnya.

Dalam masa sama, Wong berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sedang melaksanakan urusan temu duga bagi Pengambilan Guru Tahun 2026 melalui pasaran terbuka yang bermula Mei lalu dan dijangka selesai pada Oktober ini.

Beliau berkata, KPM turut mengambil beberapa langkah proaktif bagi menangani isu pengisian guru termasuk melaksanakan pengambilan guru tetap dua kali setahun.

Selain itu, katanya, sistem permohonan guru melalui portal mySPP juga dibuka sepanjang tahun bagi memberi ruang lebih luas kepada calon berkelayakan untuk memohon.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN