SUBANG JAYA – Seorang lelaki warga emas dikenali sebagai Rahim Bai ditahan polis selepas disyaki mengeluarkan ugutan terhadap seorang pempengaruh lelaki dalam kejadian di Kampung Sri, Langkas Puchong, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 5.30 petang sewaktu pengadu bersama beberapa rakannya sedang membuat siaran langsung TikTok.
“Semasa sesi siaran langsung berlangsung, beberapa lelaki tempatan telah datang dan melarang pengadu daripada membuat rakaman di kawasan berkenaan.
“Salah seorang lelaki dikenali sebagai Rahim Bai telah mengeluarkan ugutan terhadap pengadu dengan mengatakan bahawa sekiranya rakaman tersebut menjadi tular, beliau akan memecahkan muka pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, pengadu yang berasa takut akibat ugutan tersebut seterusnya membuat laporan polis.
Sehubungan itu, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun di Subang Jaya sekitar pukul 4.20 petang, semalam.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah dan perintah tahanan reman telah dibenarkan selama tiga hari sehingga 11 Julai ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” ujarnya.
Terdahulu, tular video seorang pempengaruh dikenali sebagai ‘Abang Koroy’ mendakwa menerima ugutan daripada seorang individu ketika membuat siaran langsung baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE














