KUALA LUMPUR – Duo hip hop tempatan, Kmy Kmo & Luca Sickta terus mencipta kelainan apabila berganding buat julung kali dengan penyanyi sinden Indonesia, Niken Salindry menerusi single berjudul Tinggi.
Kolaborasi rentas negara itu menggabungkan rap Melayu dengan vokal tradisional Jawa, sekali gus menjadi simbol penyatuan budaya serumpun menerusi muzik.
Dipetik daripada album terbaharu mereka, Gong, lagu tersebut mengangkat tema warisan, martabat, kenangan dan budi dalam dunia yang semakin menjauh daripada identiti budaya sendiri.
Menerusi lirik yang puitis serta alunan sinden yang cukup memikat, Tinggi membawa mesej bahawa sejarah, nilai dan budi akan terus kekal meskipun kuasa, pangkat dan masa silih berganti.
Menurut Kmy Kmo & Luca Sickta, karya tersebut dihasilkan bukan sekadar untuk menghiburkan, sebaliknya mengajak generasi muda menghargai akar budaya mereka.
“Kami percaya muzik ialah bahasa yang mampu menyatukan. Melalui Tinggi, kami ingin menyampaikan bahawa kebesaran seseorang tidak diukur melalui kuasa atau harta, sebaliknya melalui budi, nilai dan warisan yang ditinggalkan.
“Kolaborasi ini juga membuktikan budaya Nusantara mampu terus berkembang tanpa kehilangan jati dirinya,” kata mereka.
Sementara itu, Niken menyifatkan kolaborasi berkenaan sebagai peluang istimewa untuk membawa seni sinden ke pentas yang lebih luas di samping memperkenalkan keindahan budaya Jawa kepada generasi baharu.
“Saya terus tertarik apabila mendengar konsep lagu ini. Mesej yang dibawakan sangat kuat dan selari dengan semangat memelihara budaya.
“Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada karya yang mempertemukan muzik moden dengan tradisi, sekali gus mengeratkan hubungan budaya antara Indonesia dan Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, video muzik Tinggi turut menjadi antara tarikan utama apabila menjalani penggambaran di Taman Mini Indonesia Indah (TMII), Jakarta menerusi produksi berskala besar.
Video berkenaan menampilkan puluhan penari, tata artistik yang megah, pelbagai prop budaya serta busana tradisional yang diinspirasikan daripada warisan Malaysia dan Indonesia. – KOSMO! ONLINE














