fbpx
Trak polis dipercayai membawa suspek kes tikam pelajar ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat sebelum ini.. Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Tikam pelajar: Reman kedua suspek tikam pelajar dipohon esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Polis akan memohon lanjutan reman terhadap pelajar perempuan berusia 15 tahun yang disyaki menikam rakan sekolahnya di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat sebaik tempoh reman pertama berakhir esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, permohonan reman kali kedua itu dibuat bagi membolehkan siasatan terhadap suspek dilengkapkan.

“Insya-Allah sejurus reman pertama berakhir esok, pihak polis akan memohon lanjutan reman kali kedua bagi melengkapkan siasatan terhadap suspek,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan suspek direman selama empat hari selepas perintah dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok bagi membantu siasatan kes dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ketika ditanya jumlah tikaman terhadap mangsa dalam insiden itu, Shazeli memaklumkan perlu menunggu laporan rasmi pakar perubatan supaya tiada spekulasi berkaitannya.

“Angka sebenarnya tidak dapat saya berikan kerana ini memerlukan laporan daripada pakar perubatan yang lebih mengetahui jumlah tikaman itu,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sekolah ketika waktu rehat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini menerima rawatan di hospital.

Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN