WASHINGTON – Presiden Donald Trump tersilap mengatakan ‘Republik Islam Jepun’ membedil 111 peluru berpandu menyasarkan sebuah kapal induk Amerika Syarikat(AS), ‘beberapa bulan lalu’, lapor laman berita USA TODAY.
Beliau membuat kenyataan tersebut ketika bercakap dengan pihak media bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di luar sidang kemuncak NATO di Ankara, Turkiye semalam.
“Kami mempunyai sebuah kapal induk yang merupakan salah satu yang paling cantik di dunia, ia adalah salah satu yang terbesar, iaitu (USS) Abraham Lincoln,” kata Trump.
“Dan beberapa bulan lalu, sebanyak 111 peluru berpandu ditembak oleh Republik Islam Jepun (ke arah USS Abraham Lincoln).”
Trump seterusnya berkata, semua peluru berpandu itu dilancarkan dalam masa satu jam, namun kesemuanya telah dipintas.
Pada Februari lalu, Amerika Syarikat(AS) menembak jatuh dron ‘agresif’ yang menghampiri USS Abraham Lincoln semasa ia belayar di Laut Arab, sekitar 800 kilometer dari pantai selatan Iran, demikian menurut laporan terdahulu oleh USA TODAY.
Insiden itu berlaku sejurus sebelum AS dan Israel menyerang Iran, mencetuskan perang yang kini memasuki bulan keempat.
Bulan berikutnya, Iran menyatakan telah menyerang USS Abraham Lincoln dengan peluru berpandu balistik.
Dalam hantaran di platform X, Markas Pusat Perintah AS segera menyangkal dakwaan Tehran.
Amerika Syarikat dan Jepun menjadi sekutu tentera selama hampir 75 tahun. Kedua-dua negara menandatangani perjanjian pada tahun 1952, tujuh tahun selepas Perang Dunia Kedua berakhir.
Washington dan Tokyo juga berkongsi perjanjian pertahanan bersama, manakala kira-kira 60,000 askar AS ditempatkan di serata Jepun. – AGENSI














