ISKANDAR PUTERI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) selari dengan kerajaan Persekutuan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, BN Johor adalah sebahagian daripada gabungan tersebut yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Ingat, BN juga sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, kerajaan Johor jugak adalah kerajaan BN dan BN adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
“Jangan khuatir. Kerajaan BN Johor yang dipimpin oleh Datuk Onn (Hafiz) sebagai Pengerusi BN Johor dan saya sebagai Pengerusi BN Malaysia akan pastikan Kerajaan Negeri Johor akan tetap selari dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bersama masyarakat di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Iskandar Puteri, di sini malam semalam.
Yang turut hadir ialah calon BN di DUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, tiada isu bagi calon-calon BN dan mereka tidak akan menentang kerajaan Perpaduan serta akan menghormati keputusan di peringkat UMNO Pusat dan BN Pusat.
“Ada pula yang kata BN Johor pimpinan Datuk Onn (Hafiz) ini pengkhianat, tak adalah. Kerajaan negeri dibentuk lebih awal berbanding Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, semua calon BN pada PRN Johor kali ini dipilih atas kemampuan mereka untuk menang di kawasan masing-masing dan bekerja kerja kuat.
Beliau berkata, ramai menjangkakan BN Johor akan menang 40 kerusi atau kurang tetapi yakin masih boleh bentuk kerajaan negeri secara bersendirian.
“Saya mahu lihat kestabilan politik di Johor dapat dipertahankan dan atas sebab itu UMNO bertanding 37 kerusi DUN manakala MCA 15 kerusi dan MIC empat kerusi,” katanya.
Beliau berkata, tempoh 48 jam untuk berkempen menjelang PRN Johor adalah sangat kritikal dan meminta jentera untuk kerja keras memenangkan calon BN.-
Jelasnya, pengundi perlu menilai ‘track record’ Onn Hafiz dalam tempoh empat tahun tiga bulan dan 19 hari lalu sebagai yang berjaya memajukan negeri ini dengan ekonominya yang membangun.
“Apa yang tak dilakukan Datuk Onn Hafiz, sebanyak 80,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan untuk anak muda seluruh Johor, untuk penggal akan datang beliau janji mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu untuk anak muda negeri Johor.
“Dalam tempoh yang sama, 20,000 rumah kos rendah juga diwujudkan sepanjang menjadi Menteri Besar dan berazam wujudkan lagi banyak rumah,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














