KUALA LUMPUR – Seorang pelakon drama bergenre kepolisan yang ditahan sebelum ini selepas didapati positif dadah telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, pelakon wanita berusia 40-an itu ditahan bersama 17 individu lain dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Dalam perkembangan lain, pemilik Skop Production, Datuk Yusof Haslam menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana pelakon di bawah syarikatnya yang terpalit dengan penyalahgunaan dadah.
Penerbit drama kepolisan Gerak Khas itu menyatakan pendirian susulan penahanan seorang pelakon yang membintangi drama Gerak Khas Undercover 2.0 bagi membantu siasatan selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, pihak Skop Production turut mengambil tindakan dengan menggugurkan pelakon terbabit serta-merta meskipun hanya berbaki dua episod untuk menamatkan penggambaran. – KOSMO! ONLINE














