fbpx
Gambar hiasan.

Harga runcit diesel kekal RM3.97, RON95 pula RM3.37 seliter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 Julai 2026 kekal pada kadar RM3.97 seliter.

Kementerian Kewangan berkata, pengekalan harga bahan itu dibuat berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) susulan harga pasaran petroleum antarabangsa mula menyederhana daripada paras puncak konflik.

Dalam pada itu, harga RON95 dan RON97 tanpa subsidi juga kekal masing-masing pada paras RM3.97 seliter dan RM4 seliter.

“Harga minyak mentah di pasaran global terus menyederhana pada minggu terdahulu.

“Perkembangan ini didorong oleh pengurangan premium risiko geopolitik, pemulihan
aliran bekalan dan peningkatan persaingan harga dalam kalangan pengeluar utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Kementerian Kewangan berkata, perkembangan terkini di Asia Barat termasuk serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran semalam masih menunjukkan risiko gangguan terhadap harga dan bekalan selagi penyelesaian konflik tidak dimuktamadkan.

“Dalam jangka sederhana, jangkaan lebihan bekalan global susulan pemulihan pengeluaran dan penyederhanaan permintaan dijangka mengehadkan kenaikan harga.

“Namun, sebarang gangguan baharu di laluan perdagangan utama boleh menyebabkan turun naik harga yang ketara,” katanya.

Kementerian Kewangan menjelaskan, walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, kerajaan terus menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN