Empangan Kelau di Raub, Pahang kini sudah ditakluki spesies ikan pendatang invasif yang asalnya dilepaskan oleh si pelaku yang tidak bertanggungjawab. Walaupun diraikan oleh peminatnya, namun kerosakan yang diakibatkan oleh ikan ini sangat membimbangkan.
Persekitaran yang luas dan dipenuhi struktur pokok-pokok tenggelam menjadikan perairan ini habitat terbaik untuk ikan toman dan haruan membiak.
Selain itu, terdapat spesies ikan tempatan lain yang turut menghuni kawasan empangan seperti lampam, kalui, baung dan sebarau.
Sekarang, keluarga ikan peacock bass (PB) daripada spesies Chiclid pula sudah meluas taburan populasinya di seluruh pelusuk empangan dalam masa singkat. Dikatakan, ikan ini sudah tersebar memasuki sistem sungai yang mengalir ke dalam empangan.
Kerakusan ikan PB di sini boleh mengancam kehidupan spesies ikan tempatan kerana ia terkenal mampu membesar dengan cepat dan menjadi pemangsa dominan yang memakan anak-anak ikan lain.
Spesies Chiclid
Sejak kemunculan spesies invasif ini, saya kerap turun ke Empangan Kelau untuk menduganya dan didapati terdapat tiga spesies daripada keluarga PB iaitu Cichla monoculus, Cichla temensis atau digelar temmy dan campuran kedua-dua spesies PB dan temmy yang dipanggil hibrid.
Ketiga-tiga jenis ikan pemangsa ini boleh dikenal pasti daripada perbezaan profil, corak belang hitam dan warna.
PB monoculus memiliki badan lebar dengan bukaan mulut yang luas dan warnanya kuning bercampur jingga terang. Di ekornya pula mempunyai tompok hitam seakan ‘mata’ bulu pelepah burung merak.

Temmy pula badannya memanjang dengan bukaan mulut yang kecil, warna badan lebih kehijauan bercampur kekuningan dan jingga.
Ia mempunyai satu jalur kehitaman dari belakang mata mengunjur hingga ke badan.
Temmy di habitat asalnya di Amazon direkodkan mampu membesar melebihi saiz 100 sentimeter (sm) dengan berat badan lebih daripada 12 kilogram (kg), manakala PB pula boleh mencapai saiz 60sm dengan berat melebihi 3kg.
PB hibrid pula, badannya lebih lebar dan tinggi di bahagian sirip atas berbanding spesies PB monoculus, warnanya serta belangnya bercampur antara PB dan temmy. Spesies campuran ini dikatakan boleh membesar berkali ganda daripada PB biasa, namun bilangannya masih kurang di empangan ini.
Pelahap gewang
Ikan ini sangat diburu oleh pemancing kerana daya pecutan dan juangnya apabila terkena mata kail. Rata-rata pemancing menggunakan teknik casting dengan melontar gewang tiruan seperti minnow, spoon, blade dan topwater.
Mendaratkan spesimen yang bersaiz melebihi 50sm sudah dianggap sebagai satu pencapaian yang boleh dibanggakan.
Ikan PB ini sudah merebak ke seluruh kawasan empangan dan boleh dipancing di kawasan bertanjung, cerun (drop-off), pokok tumbang, reba atau tempat terdapat pokok akuatik keladi bunting.
Masa terbaik pula untuk memburunya adalah pada awal pagi dan lewat petang, di mana suhu air empangan berada dalam kondisi sesuai untuk ia memburu makanannya.
Tidak seperti kawasan lombong-lombong tinggal yang penggunaan set pancing kategori ultra-light dibolehkan kerana kurang struktur dasar, di empangan ini pemancing harus menggunakan set pancing kelas sederhana (medium) ke sederhana berat (medium heavy) disebabkan kawasan dasar dipenuhi struktur pokok-pokok mati.
Minimum kekuatan set pancing disyorkan adalah 8-17lb atau maksimum 10-20lb. Tali utama minimum 20lb dan maksimum 30lb jenis tali sulam.

Perambut pula jenis fluorocarbon berkekuatan 30 hingga 40lb supaya pemancing tidak takut menahan asakan ikan daripada menerobos reba.
Seperti menggewang ikan siakap putih, cara memainkan gewang untuk PB ini juga seakan sama.
Gewang seharusnya ada sedikit sentapan pantas (jerk) dan hentian (stop-and-go) setiap kali dikarau, tidak kira jenis selaman dalam, cetek atau permukaan.
Setiap kali gewang berhenti selama antara dua hingga tiga saat sebelum meneruskan karauan semula, biasanya dapat mencetus sifat agresif ikan pemangsa ini dengan menerpa gewang semasa ia dihentikan.
Gewang paling menjadi di sini adalah jenis selaman cetek (minnow) atau permukaan (topwater) bersaiz antara 6 hingga 9sm kerana berkemungkinan ia saiz ikan yang menjadi diet utama PB di sini iaitu seluang.
Perspektif
Ada yang membantah kewujudan ikan PB di empangan ini terutamanya dalam kalangan mereka mencintai spesies ikan tempatan.
Pada masa sama, ada yang mengalu-alukan kehadirannya atas dasar ‘ikan sukan memancing’.
Hakikatnya, individu bersalah adalah tangan-tangan durjana yang melepaskan ikan pendatang ke sini.
Terdapat juga pemancing yang hadir untuk membawa pulang tangkapan mereka kerana dikatakan ikan ini mempunyai isi sedap untuk dijadikan hidangan.
Kini, hampir setiap hari kelihatan pemancing muncul untuk memburu ikan pendatang ini.
Kehadiran spesies ini dapat menjana pendapatan penduduk tempatan yang menyediakan bot-bot sewa.
Sebaliknya, dari sisi kehidupan nelayan tempatan, lambakan ikan pendatang ini telah menjejaskan sumber tangkapan mereka yang rata-rata mencari ikan tempatan sebagai hasil jualan.
Seperkara lagi, ikan PB masih belum ada harga yang baik di sana berbanding di tempat-tempat lain seperti di Perak.
Sesungguhnya sebagai pemancing, kita tidak mempunyai kudrat dan kuasa secara total untuk membasmi ikan PB, temmy dan hibrid ini secara keseluruhannya.
Sesuatu wajib dilakukan bagi mengurangkan populasi ikan pendatang ini supaya spesies ikan asal mendapat sedikit ruang untuk ‘bernafas’.
Kali ini, saya merasakan tidak perlu rasa bersalah untuk membawa pulang ikan-ikan pendatang berkenaan sebagai juadah untuk keluarga.














