MELAKA – Tiga individu termasuk pasangan suami isteri diberkas bagi membantu siasatan kes jenayah seluk saku yang menyasarkan pelancong di kawasan tumpuan pelancongan, Jonker Walk, di sini.
Kesemua suspek iaitu seorang lelaki warga China berusia 27 tahun, manakala pasangan terbabit masing-masing 35 tahun ditahan kira-kira pukul 3 petang dalam operasi di kawasan Jalan Hang Jebat pada Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, tangkapan dilakukan hasil kerjasama orang awam selepas berlaku jenayah seluk saku membabitkan mangsa pelancong dari China.
“Hasil siasatan, pasangan terlibat merupakan warga Indonesia dan modus operandi mereka adalah suspek wanita bertindak mengambil dompet mangsa, manakala suaminya akan memerhatikan keadaan sebelum melarikan diri.
“Pasangan itu juga mengaku terlibat dalam beberapa kes di sekitar Melaka membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1,000,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, suspek warga China terbabit bagaimanapun dipercayai tidak terlibat dalam jenayah tersebut, namun dia turut ditahan bagi membantu siasatan selepas bertindak melarikan diri ketika operasi tangkapan dijalankan.
“Kesemua mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksan kerana mencuri.
“Polis daerah ini merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang telah memberikan kerjasama dan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan ini,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














