MELAKA – Perbuatan terkutuk seorang pemuda mengintai dan merakam anak gadis jirannya ketika mangsa sedang mandi membawa padah apabila dia didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini.
Majistret, Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhamad Syafiq Hidayat Mohd. Syukur, 19, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan seorang gadis yang berusia 19 tahun dengan merakam wanita itu ketika sedang mandi tanpa pengetahuannya menggunakan sebuah telefon bimbit jenis Redmi 9T sehingga mengganggu kesantunannya. Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang di Batu 4, Batu Berendam, Melaka Tengah pada 8 September 2025.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan denda sebanyak RM300 dengan alasan dia perlu menanggung keluarga selepas ibu bapanya bercerai dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas alasan kesalahan itu bukan perkara remeh.
“Perbuatan tertuduh memberi kesan kepada psikologi mangsa sehingga mangsa berasa malu, takut dan trauma.
“Kesalahan itu dilakukan secara sengaja sedangkan tertuduh mempunyai kawalan untuk tidak melakukannya, namun tetap memilih berbuat demikian, justeru, pihak pendakwaan memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dan dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut serta bahan bukti yang digunakan dalam kes itu turut dilupuskan. – KOSMO! ONLINE














