fbpx
Gambar yang dimuat naik di Threads oleh Tyqqiqi sewaktu membantu seorang peserta OKU penglihatan berlari dalam program larian amal.

Jadi penunjuk arah bantu pelari buta habiskan larian amal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan murni seorang gadis menjadi ‘penunjuk arah’ membantu seorang pemuda cacat penglihatan menamatkan larian sejauh 5 kilometer (km) di sebuah larian amal mengundang rasa hiba dan pujian pengguna media sosial.

Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads Tyqqiqi, seorang peserta lelaki dilihat memegang tongkat putih sambil meletakkan tangannya di atas bahu gadis tersebut supaya mereka dapat menghabiskan larian amal tersebut bersama-sama.

Gadis berkenaan turut meluahkan rasa syukur dan gembira kerana dapat membantu memimpin lelaki buta itu bersama sehingga ke penghujung.

“Mungkin ini larian 5km paling lama yang pernah saya lakukan. Tetapi rupa-rupanya ia bukan tentang kelajuan semata-mata.

“Pada mulanya agak gementar, tetapi kami akhirnya bersembang sepanjang laluan. Sangat santai dan membuatkan hati saya berasa penuh gembira,” katanya pada hantaran tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum dengan sifat empati yang ditunjukkan oleh gadis tersebut dalam menyantuni golongan istimewa.

“Terima kasih kerana mengingatkan kami bahawa sifat baik hati dan kemanusiaan itu masih wujud di dunia ini,” ujar Dhan_love22.

“Saya dengan kawan-kawan pun ada dekat situ dan nampak awak. Kami semua sangat terharu dengan kebaikan yang awak tunjukkan, tak semua mampu buat,” kata Azriharis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN