KUALA LANGAT – Insiden seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun ditikam sebanyak 16 kali di sebuah sekolah menengah di sini, mencetuskan persoalan dalam kalangan ibu bapa mengenai tahap keselamatan sehingga senjata tajam boleh dibawa masuk ke kawasan sekolah.
Rata-rata mereka berharap siasatan dilakukan secara menyeluruh, selain langkah keselamatan diperkasakan segera bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak lagi berulang.
Seorang bapa, Hasnuldin Daiman, 56, mengakui terkejut apabila mengetahui kejadian itu dan menyifatkan tahap keselamatan di sekolah perlu dipertingkatkan.
“Persoalan yang timbul ialah bagaimana pisau boleh dibawa masuk ke sekolah tanpa dikesan. Perkara ini perlu dijelaskan.
“Anak saya yang belajar di tingkatan lima sempat melarikan diri ketika kejadian. Kalau tidak sempat lari, saya pun tidak tahu apa yang mungkin berlaku,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan sekolah itu di sini, hari ini.
Bagi Ahmad Yamin Tamyed, 70, yang mempunyai cucu di tingkatan tiga sekolah sama memaklumkan kejadian itu perlu dijadikan titik perubahan dalam aspek keselamatan di sekolah.
“Ini kes kedua selepas sekolah di Damansara. Walaupun tidak melibatkan kematian namun perlu buka mata seluas-luasnya kepada pihak terbabit mengenai tahap keselamatan pelajar sekolah.
“Berhubung dakwaan buli yang tular, saya harap pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya. Ia bukan isu terpencil,” katanya.
Bagi seorang lagi ibu dikenali Farah, 39, anaknya yang berada tingkatan tiga merupakan rakan sekolah mangsa sejak di tahun 6 sebelum ini.
“Bimbang juga hal semalam sampai nak ambil anak di sekolah.
“Pada masa sama, saya meletakkan harapan tinggi kepada para guru dalam menjaga anak saya dan mengawal keadaan sekolah,” jelasnya.
Sementara itu, wakil pengurusan sekolah memaklumkan pemeriksaan terhadap pelajar dilakukan ketika perhimpunan pagi.
“Selain itu, sesi kaunseling dijalankan dan peringatan kepada para pelajar agar mematuhi peraturan sekolah,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sekolah ketika waktu rehat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu,
mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini menerima rawatan di hospital.
Polis kemudiannya berjaya menahan suspek yang juga berusia 15 tahun dan masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian. – KOSMO! ONLINE















