SUNGAI BULOH – Polis mengesan penularan semula satu hantaran di media sosial Facebook bertajuk ‘Dakwaan Azan Subuh Ganggu Tidur, ADUN Buat Laporan Polis’ yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, hasil semakan mendapati kandungan yang ditularkan itu sebenarnya merujuk kepada insiden lama yang telah melalui proses siasatan serta tindakan mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.
“Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang dikesan menyebarkan berita palsu, hasutan atau kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE















